Sangat terpegun dengan paparan dekorasi mewah dan eksklusif yang diadaptasikan pada setiap ruang kediaman mewah ini. Sejak dulu hingga kini gaya klasik Inggeris dan Eropah sentiasa menjadi pilihan tuan rumah yang juga pemilik syarikat hiasan dalaman My Home Gallery, Emma Khalid.

Ternyata dengan kepakarannya selama 11 tahun dalam bidang interior, Emma Khalid berjaya menterjemahkan idea kreatifnya yang cukup ‘mahal’ dan tersendiri. Setiap ruang diberikan olahan berbeza namun masih mengekalkan mood elegan seiring dengan karakter Emma Khalid.

Ruang tamu

“Saya memilih gaya klasik Inggeris dan English kerana ia tak lapuk dek zaman dan tak membosankan. Kalau nak ikut trend pun biasanya saya cuma bermain dengan warna berbanding konsep.

Apa pun kombinasi warna hitam, beige dan krim sentiasa nampak elegan dan diguna pakai untuk apa jua konsep, mood serta zaman. Saya banyak beri tumpuan kepada ruang tamu termasuk ruang dapur basah dan dapur kering.”

GEMARKAN CUSTOM-MADE

“Kebanyakan item dalam rumah ni custom-made seperti sofa, langsir dan kertas dinding. Saya sendiri yang buat rekaan dan pilih fabriknya, kemudian hantar kepada carpenter. Saya suka custom-made kerana rekaannya lebih tersendiri dan eksklusif.

Rumah ini turut diubah suai secara keseluruhan. Salah satunya saya buat french window yang memberi tampilan baru dan segar. Tapi dalam masa yang sama saya tetap mengekalkan konsep klasik Inggeris dan Eropah bagi setiap ruang.

Saya juga menyediakan powder room untuk kegunaan tetamu yang terletak di tingkat bawah bersebelahan ruang makan.”

Powder room

OLAHAN BERBEZA

Emma Khalid turut menjadikan rumahnya sebagai ruang pamer bagi memudahkan klien mendapatkan khidmat rundingannya sebagai pereka hiasan dalaman. Secara tak langsung mereka dapat melihat, menyentuh dan merasai sendiri keseluruhan elemen dekorasi yang diterapkan.

Bersebelahan ruang tamu Emma Khalid menempatkan ruang makan dilengkapi set meja makan bersaiz dempak. Di sini Emma Khalid menerapkan motif sedikit sarat dengan penggunaan kertas dinding rona gelap. Penggunaan langsir rona terang dan cermin besar di dinding menjadikan ruang ini terlihat lebih luas.

Rona putih yang mendominasi ruang dapur kering sangat memberi ketenangan. Di sini Emma Khalid turut menyediakan ruang keluarga dilengkapi sofa dan televisyen bagi memudahkan ahli keluarga berkumpul.

Dapur kering

RUANG KAMAR

“Untuk bilik anak perempuan, saya menerapkan warna ungu. Manakala konsep bilik tidur anak lelaki bersesuaian dengan statusnya sebagai anak bujang. Untuk anak kembar pula saya gabungkan warna biru dan pink.

Walaupun saya memberi kebebasan untuk mereka memberikan idea tetapi idea utamanya daripada saya sendiri.”

Ruang wardrobe dan kamar mandi. Sangat privasi!

Untuk bilik tidur utama setiap dindingnya dipenuhi dengan cermin menjadikan ruang ini lebih luas. Ia turut dilengkapi ruang wardrobe yang membiaskan aura mewah serta ekslusif.